Saturday, 3 March 2012

Persoalan Asas Tentang Hadith: Sabda Nabi Sahaja?


Soalan: Adakah hadis boleh diertikan sebagai sabda Nabi s.a.w?

Jawapan:

Jika kita ertikan hadis sebagai sabda Nabi s.a.w, pengertian sebegini adalah belum mencukupi. Hadis bermaksud setiap perkara yang dikaitkan dengan Rasulullah s.a.w daripada segi perbuatan, percakapan, persetujuan dan sifat-sifat Rasulullah s.a.w sama ada sifat akhlak atau sifat fizikal baginda s.a.w[1]. Pembahagian ini dapat diterangkan dengan penjelasan berikut:

1- Hadis berbentuk percakapan ialah segala ucapan Rasulullah s.a.w yang didengari oleh para sahabat[2] sepanjang hidup baginda s.a.w. Hal ini banyak direkodkan oleh para penulis hadis sejak zaman berzaman seperti sabda Nabi s.a.w:
Maksudnya : Sesungguhnya setiap amalan itu diukur dengan niat[3].

2- Hadis berbentuk perbuatan pula ialah segala tingkah laku Nabi s.a.w yang dilihat oleh para sahabat lalu mereka ceritakan kepada para tabiin[4]. Perbuatan Nabi s.a.w menjadi panduan dan syariat serta menjadi huraian kepada Al-Quran. Contohnya ialah gerak-geri Nabi s.a.w ketika Baginda s.a.w solat. Gerak geri dan perbuatan Baginda s.a.w telah diceritakan dengan panjang lebar oleh para sahabat sehingga kita dapat mengetahui dengan jelas bagaimanakah cara solat Nabi s.a.w.

3- Hadis berbentuk persetujuan atau istilah arabnya ‘taqrir’ pula ialah segala persetujuan Nabi s.a.w apabila melihat sesuatu perbuatan daripada sahabatnya yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Itu juga dikira hadis yang menjadi syariat kepada umatnya kerana persetujuan Rasulullah s.a.w menandakan bahawa perkara itu boleh dilakukan. Contohnya ketika Rasulullah s.a.w melihat Khalid bin al-Walid memakan daging dhab (sejenis biawak yang bersih dan hidup di padang pasir) maka baginda s.a.w membiarkannya sahaja walaupun baginda s.a.w tidak memakannya kerana tidak biasa[5].

4- Hadis-hadis dalam kategori sifat pula terbahagi kepada dua iaitu hadis-hadis yang menceritakan sifat-sifat fizikal (warna kulit, rambut, bentuk tapak tangan dan sebagainya) dan juga hadis-hadis yang menceritakan sifat-sifat akhlak baginda s.a.w (pemurah, bergurau dengan sahabatnya, penyabar dan sebagainya) seperti yang dapat kita lihat di dalam buku al-Syamaail al-Muhammadiyyah[6] karya al Tirmizi (279H). Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan tajuk Tarjamah Hadits Mengenai PRIBADI DAN BUDI PEKERTI RASULULLAH s.a.w. Buku ini dialih bahasa oleh Drs. M. Tarsyi Hawi, cetakan kesepuluh tahun 2003 (cetakan CV PENERBIT, Bandung).

Indeks:
[1]Al-Tamhid Fi Ulum al-Hadith – Hammam Said – muka surat 11. Takrif atau pengertian hadis boleh didapati dalam buku-buku mustolah hadis.
[2]Sahabat ialah mereka yang beriman, sempat bertemu dengan Nabi s.a.w dan mati dalam keimanan. Kedudukan mereka berbeza berdasarkan hubungan mereka dengan Nabi s.a.w namun mereka kesemuanya adalah para sahabat yang diakui kehebatan masing-masing.
[3]Hadis sahih riwayat al-Bukhari (hadis no. 1)  dan Muslim (hadis no. 1907).
[4]Tabii ialah istilah yang diberikan kepada seseorang yang sempat bertemu dengan para sahabat. Tabiin menunjukkan bilangan ramai.
[5]Hadis sahih riwayat al-Bukhari (hadis no. 5391).
[6]Buku ini merupakan buku yang mengumpulkan sifat-sifat Nabi s.a.w bermula dari sifat tubuh badan dan diakhiri dengan bab melihat Rasulullah s.a.w di dalam mimpi. Di dalamnya terdapat 397 buah hadis. Ia pernah dihuraikan dan dikaji oleh para ulama kerana di dalamnya terdapat hadis-hadis yang sahih dan yang dhaif. Di antara yang pernah mengkaji kesahihan hadis-hadisnya ialah al-Albani, Mahir Yasin Fahl di bawah seliaan Basyar Awwad Ma’ruf dan lain-lain lagi.

-------
Ini merupakan hasil tulisan Ustaz Adlan bin Abd Aziz dalam bukunya yang bertajuk "20 Persoalan Asas Tentang Hadis". Ia juga boleh dibaca di hafizfirdaus.com.

2 comments:

  1. TERIMA KASIH BANYAK atas perkongsian ilmu dalam Blog maya ini. Subhanallah, ia nikmat yang besar bagi saya sbg kategori 'orang2 awam yang tak berpeluang mengikuti kuliah/pengajian hadis2 dr guru2 yang bertauliah.. Smg terus maju jaya

    ReplyDelete
  2. @Ain: Terima kasih kerana sudi singgah. Semoga dapat diambil manfaat dan dapat disebarkan.

    ReplyDelete