Monday, 12 March 2012

Nasihat Tentang Mustolah


Sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu kajian hadith atau menceburkan diri dalam kajian hadith pasti tidak dapat mengabaikan buku-buku yang dipanggil buku Mustolah al-Hadith. Buku-buku seperti Nuzhat al-Nazor karya Ibn Hajar dan Tadrib al-Rawi karya al-Suyuthi adalah antara buku yang popular dalam kalangan pengkaji hadith. Buku-buku moden juga digunakan seperti buku Dr. Mahmud al-Tohhan bertajuk Taisir Mustolah al-Hadith dan buku Mabahith Fi Ulum al-Hadith karya Manna’ al-Qatthan.

Apakah kedudukan buku-buku Mustolah al-Hadith di sisi pengkaji hadith sejak dahulu hingga kini? Sejauh manakah buku ini penting dalam kajian hadith? Bagaimanakah buku-buku ini digunakan oleh para pengkaji?

Perkara pertama yang perlu difahami oleh kita ialah : buku Mustolah al-Hadith ialah buku yang cuba menganalisis kajian ulama terdahulu (kurun ke 2 dan 3 Hijrah) lalu ia cuba digambarkan dalam bentuk kaedah-kaedah yang lebih ringkas dan mudah untuk difahami.

Perkara seterusnya ialah: buku Mustolah al-Hadith tidak wujud di zaman awal (kurun ke 2 atau 3 Hijrah) tetapi wujud selepas zaman kajian itu iaitu bermula pada pertengahan kurun ke 4 Hijrah. Buku pertama yang ditulis secara khusus untuk menganalisis kajian ulama terdahulu ialah buku yang bernama al-Muhaddith al-Fasil karya al-Ramahurmuzi (meninggal pada 360H). Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani: buku al-Ramahurmuzi ini tidak menyeluruh iaitu tidak meliputi kesemua kajian ulama terdahulu. Sememangnya ini adalah ciri atau sifat kesemua buku Mustolah al-Hadith sama ada buku yang ditulis di kurun ke 4, 5 dan seterusnya sehinggalah ke zaman kita pada hari ini.

Namun begitu, terdapat buku-buku yang dianggap ‘terbaik’ di antara buku-buku Mustolah al-Hadith seperti buku Ma’rifat Anwa’ ‘Ilm al-Hadith karya Ibn al-Solah al-Syahrazuri (meninggal pada 643H), al-Muqizoh karya al-Zahabi (meninggal pada 748H), Syarh ‘Ilal al-Tirmidzi karya Ibn Rajab al-Hanbali (meninggal pada 795H) dan juga buku Nuzhat al-Nazor karya Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal pada 852H). Manakala buku-buku di zaman ini pula adalah ringkasan dan olahan baru bagi buku-buku yang telah ditulis sebelumnya. Sebagai cadangan, saya mencadangkan buku Taisir Mustolah al-Hadith karya Dr. Mahmud al-Tohhan dan juga buku Mabahith Fi ‘Ulum al-Hadith karya Manna’ al-Qatthan. Kedua-dua buku ini telah pun diterjemahkan.

Setelah kita mengetahui bahawa kemunculan buku Mustolah al-Hadith adalah selepas zaman kajian hadith ulama terdahulu, maka perlulah difahami beberapa kesimpulan berikut:

1- Tidak ada buku Mustolah al-Hadith yang menghimpunkan secara lengkap kesemua kajian para ulama terdahulu.
2- Tidak cukup sekadar membaca satu atau dua buku Mustolah al-Hadith untuk memahami bagaimana hadith dikaji oleh ulama terdahulu.
3- Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya seseorang pengkaji hanya melihat kepada buku Mustolah al-Hadith tanpa melihat kepada kajian-kajian ulama terdahulu yang dicatatkan dalam buku-buku lain.
4- Buku Mustolah al-Hadith tidak boleh diabaikan oleh sesiapa yang ingin mengkaji hadith tetapi ia mestilah dianggap sebagai permulaan dan kelengkapan asas untuk pengkaji di samping ilmu-ilmu lain.

Oleh itu, menjadi satu kesilapan sekiranya seseorang pengkaji hadith melakukan kajian dengan hanya berpandukan kaedah-kaedah yang ada dalam buku Mustolah al-Hadith tanpa melihat kepada buku-bukulain berkaitan kajian hadith. Mungkin ada yang bertanya, kenapa pula tidak? Bukankah buku Mustolah al-Hadith adalah kaedah-kaedah yang meringkaskan kajian ulama terdahulu? Maka ia adalah menepati kajian ulama terdahulu bahkan ia lebih mudah digunakan kerana ia meringkaskan kajian mereka. Jawapannya adalah seperti berikut:

1- Telah sedia dimaklumi bahawa buku Mustolah al-Hadith adalah percubaan untuk meringkaskan kajian ulama hadith terdahulu lalu dipersembahkan dalam bentuk kaedah yang mudah difahami. Maka untuk kita benar-benar pasti dalam mengkaji, kita perlu kembali kepada kajian ulama terdahulu untuk melihat sejauh mana kaedah itu digunakan.
2- Pengkaji hadith sejak dahulu hingga masa kini telah menegaskan bahawa terdapat kekurangan pada buku-buku Mustolah al-Hadith sama ada sedikit atau banyak. Bahkan ada di antaranya yang terlalu ringkas sehingga sukar untuk dipraktikkan tanpa melihat bagaimana ulama terdahlu mempraktikkannya.
3- Terdapat beberapa kaedah yang diperselisihkan dalam buku Mustolah al-Hadith. Untuk menyelesaikan perselisihan ini, kita perlu kembali kepada kajian ulama terdahulu.
4- Ada beberapa kaedah yang ada dalam buku Mustolah al-Hadith didapati berlainan dengan apa yang telah diamalkan oleh ulama hadith terdahulu terutama berkaitan dengan topik-topik seperti Ziayadat al-Thiqah, Hadith Mudallas, maksud perkataan al-Munkar, penggunaan Hadith Mursal dan sebagainya.

Berdasarkan sebab-sebab di atas dan sebab-sebab lain yang tidak disebutkan di sini, kita perlu akur dengan satu perkara penting iaitu: Kajian ulama terdahulu yang wujud sebelum wujudnya buku-buku Mustolah al-Hadith sama sekali tidak boleh diabaikan. Menggunakan kaedah-kaedah Mustolah al-Hadith semata-mata tidak menjamin kajian yang dihasilkan adalah ilmiah dan tepat malah ditakuti ia menyalahi apa yang telah dipraktikkan oleh ulama hadith terulung pada masa silam seperti kajian Abd. Rahman Ibn al-Mahdi, Ali Ibn al-Madini, Yahya Ibn Sa’id, Ahmad Ibn Hanbal, al-Bukhari, Abu Zur’ah, Abu Hatim, al-Nasaai dan lain-lain lagi.

Perlu diingatkan di hujung tulisan ini, sekiranya ada yang memuji ilmu kajian hadith, pada hakikatnya mereka memuji kajian yang telah berlaku di zaman kegemilangan kajian hadith di zaman ulama-ulama terdahulu yang disebutkan tadi. Kajian mereka adalah terlalu hebat dan tidak dapat ditandingi oleh sesiapa selepas mereka hinggalah ke zaman kita ini. Maka kritikan kita terhadap beberapa kekurangan buku Mustolah al-Hadith tidak langsung menjejaskan kehebatan umat Muhammad SAW iaitu kajian mengenal pasti kesahihan hadith dan kedhaifannya.

Wallahu a’lam.

----------
Ini merupakan sepenuhnya tulisan oleh Ustaz Adlan Abd Aziz.

No comments:

Post a Comment