Saturday 18 May 2013

Terjemahan Jami' At-Tirmdzi (Siri 1)

Bab-Bab Menerangkan Tentang Ilmu Dari Rasulullah S.A.W (Bahagian 1)

1. Bab Menerangkan Bahawa Apabila Allah Menghendaki Kebaikan Kepada Seseorang Maka Allah Memberikan Kefahaman Dalam Soal Agama

2873: Menceritakan kepada kami Ali bin Hujr, memberitahukan kepada kami Ismail bin Ja'far,  menceritakan kepadaku Abdullah bin Sa'id bin Abi Hindun daripada ayahnya, daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Barangsiapa dikehendaki Allah akan kebaikan kepadanya, maka Allah memberikan kefahaman dalam soal agama. Dan dalam bab ini terdapat hadith dari Umar, Abu Hurairah dan Muawiyah. Hadith ini hasan shahih.

2. Bab Menerangkan Keutamaan Mencari Ilmu

2784: Menceritakan kepada kami Mahmud bin Ghailan, memberitahukan kepada kami Abu Usamah, daripada Al-A'masy daripada Abi Shalih, daripada Abi Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, "Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah memudahkan baginya jalan menuju syurga." Hadith ini hasan.

2785: Menceritakan kepada kami Nasr bin Ali, memberitahukan kepada kami Khalid bin Yazid Al-'Atalli, daripada Ja'far Ar-Razi, daripada Ar-Rabi' bin Anas, daripada Anas bin Malik berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, "Barangsiapa keluar untuk mencari ilmu, maka dia dalam jihad di jalan Allah sehingga dia kembali." Hadith ini hasan gharib. Dan sebahagian ahli hadith meriwayatkan hadith ini tapi tidak meriwayatkannya secara marfu'.

2786: Menceritakan kepada kami Muhammad bin Humaid Ar-Razi, memberitahukan kepada kami Muhammad bin Al-Mu'alla, memberitahukan kepada kami Ziyad bin Khaitsamah daripada Abu Daud, daripada Abdullah bin Sakhbarah, daripada Sakhbarah dari Nabi s.a.w bersabda, "Barangsiapa mencari ilmu, maka perbuatannya menjadi penebus dosa yang telah lalu." Ini hadith lemah sanadnya. Dan Abu Daud namanya adalah Nufai' Al-A'ma, dia dianggap lemah dalam meriwayatkan hadith, dan aku tidak mengetahui mengenai sesuatu yang besar bagi Abdullah bin Sakhbarah, dan juga bagi ayahnya.

3. Bab Menerangkan Tentang Menyembunyikan Ilmu

2787: Menceritakan kepada kami Ahmad bin Budail bin Quraisy Al-Yami Al-Kufi, memberitahukan kepada kami Abdullah bin Numair, daripada Umarah bin Zadzan daripada 'Ali bin Al-Hakam bin Atha' daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, "Barangsiapa ditanya tentang suatu ilmu yang dia ketahui kemudian dia menyembunyikannya, maka kelak dia dikendalikan di hari kiamat dengan kendali yang terdiri daripada api neraka." Dan dalam bab ini terdapat hadith dari Jabir dan Abdullah bin Amr. Dan hadith Abu Hurairah adalah hadith hasan.

Catatan: Terjemahan ini dirujuk daripada Tarjamah Sunan At-Tirmidzi, Drs. H. Moh. Zuhri Dip. TAFL dkk, Victory Agencie, 1998, jilid 4, ms 273-276.

Catatan: Sekiranya terdapat kesilapan terjemahan mohon untuk ditegur, boleh tulis di ruangan komen. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment