Jawapan:
Hadis dibukukan sejak Rasulullah s.a.w masih hidup. Memandangkan hadis-hadis sahih ini adalah sumber hukum kedua selepas Al-Quran, pemeliharaan hadis amat diberikan perhatian oleh para sahabat Nabi s.a.w. Mereka menghafaznya dengan menggunakan ingatan mereka yang kuat. Bagi sesetengah sahabat pula mereka menulisnya di dalam catatan untuk membantu ingatan mereka.
Pada awalnya mereka dilarang untuk menulis perkara selain Al-Quran seperti yang terdapat di dalam sebuah hadis sahih, maksudnya: “Jangan tulis daripadaku selain Al-Quran. Sesiapa yang menulis selain Al-Quran, maka hendaklah dia memadamnya”[1]. Tetapi larangan itu hanya bersifat sementara dan Rasulullah s.a.w sendiri selepas itu telah memberikan kebenaran kepada para sahabat untuk menulis hadis[2].
Apabila tiba zaman para tabiin, mereka juga mewarisi sikap ini daripada para sahabat Nabi s.a.w. Ada di antara mereka yang menghafaznya dan ada di antara mereka yang menulisnya bagi membantu hafazan mereka. Mereka sentiasa mengikuti kelas-kelas pengajian yang diadakan oleh para sahabat dan mereka akan mencatat apa sahaja yang disampaikan oleh para sahabat.
Begitulah keadaannya sehingga tiba zaman pemerintahan khalifah Islam yang terkenal iaitu Umar Ibn Abd. Aziz (101H) di sekitar seratus tahun pertama hijrah. Umar telah mengarahkan supaya hadis-hadis Nabi s.a.w dikumpulkan secara rasmi dan tersusun supaya tidak hilang daripada pengetahuan orang ramai[3]. Beliau telah memerintahkan dua orang ulama yang terkenal untuk menjalankan proses pembukuan rasmi hadis-hadis ini. Mereka ialah : Abu Bakr Ibn Amru Ibn Hazm (120H) dan Ibn Shihab al Zuhri[4].
Keperihatinan Umar telah mencetuskan satu semangat baru di kalangan para ulama untuk turut sama mengumpulkan hadis secara rasmi dan tersusun. Di antara ulama hadis yang menyahut seruan Umar Ibn Abd. Aziz di zaman itu ialah:
- Ibn Juraij ( 150H) di Mekah
- Al Auzaa’i ( 156H) di Syam
- Sufyan al Thauri di Kufah
- Muhammad Ibn Ishak (151H) dan Abdullah Ibn al Mubarak (181H) di Khurasan
- Malik Ibn Anas (179H) di Madinah
Amalan ini berterusan pada awal kurun ke 3 hijrah dan di antara mereka yang membukukan hadis ialah Imam-imam yang dikenali buku-buku mereka dengan nama al Kutub as Sittah (6 buku):
1. Muhammad Ibn Ismail al Bukhari (256H)
2. Muslim Ibn al Hajjaj (261H)
3. Muhammad Ibn Yazid ( Ibn Majah) (273H)
4. Sulaiman Ibn al Asy’ath ( Abu Daud) (275H)
5. Muhammad Ibn Isa (al Tirmizi) (279H)
6. Ahmad Ibn Syuaib ( al Nasaai) (303H)
Sejak zaman itu hinggalah ke hari ini, penulisan dalam bidang hadis melalui pelbagai peringkat yang melibatkan bermacam-macam bentuk penulisan. Hadis-hadis yang telah dikumpulkan itu telah dikaji dan dinilai oleh para ulama. Sejak itu banyak buku telah dihasilkan yang dapat kita baca hingga ke hari ini.
Mungkin ada yang menyangka bahawa penulisan hadis bermula lewat iaitu beberapa ratus tahun selepas Rasulullah s.a.w wafat. Ini adalah pendapat yang tidak tepat. Penulisan dan pengumpulan hadis telah bermula sejak Rasulullah s.a.w masih hidup. Bentuk penulisan dan pengumpulan ini telah berkembang dan menjadi lebih tersusun seiring dengan perkembangan zaman.
Indeks:
[1]Hadis sahih riwayat Muslim (7701).
[2]Buku al Manhaj al Sahih Fi al Hukmi ‘Ala al Hadith al Nabawiy al Sharif – Adil Mursyid – muka surat 14-16 – cetakan Dar al Basyir.
[3]Lihatlah keprihatinan Umar Bin Abdul Aziz dalam memikirkan masa depan umat Islam berkaitan soal ilmu-ilmu Islam terutamanya hadis. Sikap ini perlu ada dalam diri kita agar kita dapat melakukan sesuatu untuk memelihara kesucian ilmu-ilmu Islam untuk generasi akan datang.
[4]Perintah Umar Bin Abd. Aziz ini ada diriwayatkan oleh al Bukhari di dalam Sahih al Bukhari (bab 34 – bab ‘Kaifa Yuqbadhu al Ilmu’ bermaksud ‘bagaimana ilmu diambil atau hilang’).
-------
Ini merupakan hasil tulisan Ustaz Adlan bin Abd
Aziz dalam bukunya yang bertajuk "20 Persoalan Asas Tentang Hadis". Ia juga
boleh dibaca di hafizfirdaus.com.
No comments:
Post a Comment